Pelajar Malaysia disaran tangguh sementara sambung pengajian ke Asia Barat

Pelajar Malaysia disaran tangguh sementara sambung pengajian ke Asia Barat

ADAM Adli Abdul Halim bergambar kenangan pada Majlis Iftar Perdana bersama Media Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelajar Malaysia yang merancang untuk melanjutkan pengajian ke Asia Barat disaran menangguhkan sementara hasrat berkenaan berikutan konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, situasi keselamatan di rantau Asia Barat ketika ini masih belum terjamin selain beberapa laluan penerbangan turut terjejas akibat ketegangan yang berlaku.

Menurut beliau, pelajar yang telah menerima tawaran pengajian atau merancang untuk kembali menyambung pengajian di beberapa negara di rantau berkenaan dinasihatkan menangguhkan perjalanan sehingga keadaan kembali stabil.

“Situasi keselamatan dan gangguan perjalanan udara di rantau tersebut menjadikan keadaan semasa kurang selamat untuk pelajar memulakan pengajian di negara terbabit.

“Ini kerana ketegangan dan konflik antara Israel dan Iran masih belum ada petunjuk ia akan reda dalam masa terdekat.

“Jadi, pelajar yang bakal ke negara Asia Barat dinasihatkan menangguhkan perjalanan dan sentiasa berhubung dengan institusi pengajian masing-masing serta Kementerian Luar melalui Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Perdana Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi bersama Media Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir, semalam.

Mengulas lanjut, Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan sentiasa memantau perkembangan semasa dengan kerjasama Kementerian Luar bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terutama pelajar di luar negara sentiasa terpelihara.

Menurutnya, pelan pemindahan keluar pelajar terlibat di kawasan terjejas juga telah disediakan dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.

“Pelajar Malaysia telah dihubungi melalui wakil Malaysia di negara terlibat dan mereka juga telah diberikan nasihat serta panduan sekiranya berlaku situasi kecemasan,” katanya.

Katanya, KPT mengenal pasti seramai 1,936 pelajar Malaysia berada di enam negara Asia Barat iaitu di Jordan seramai 1,762 orang diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (26), Kuwait (9), Iran (6) dan Qatar (3).

Menurutnya, kesemua pelajar yang berada di negara terlibat dilaporkan selamat dan sentiasa dipantau oleh pihak kerajaan melalui pejabat Pendidikan Malaysia (EM) serta kedutaan Malaysia di negara masing-masing.

Adam Adli turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak di negara berkenaan supaya sentiasa berhubung dengan pihak Wisma Putra dan pihak kedutaan bagi mengetahui perkembangan semasa anak-anak mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN