Newcastle malukan Chelsea di depan penyokong mereka

Newcastle malukan Chelsea di depan penyokong mereka

PEMAIN-Pemain Chelsea menunjukkan riak kecewa selepas tewas kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Newcastle United menambah derita Chelsea dan memastikan penyokong mereka pulang kecewa selepas menewaskan The Blues 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Jaringan Anthony Gordon pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Newcastle.

Chelsea yang masih terkesan dengan kekalahan besar 2-5 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA sebelum ini sekali lagi menunjukkan kelemahan di benteng pertahanan.

Pada minit ke-18, Joe Willock mudah melepasi perangkap ofsaid sebelum melorongkan bola kepada Gordon yang tenang menyudahkannya untuk meletakkan Newcastle di hadapan.

Penyokong tuan rumah jelas kecewa dengan persembahan pasukan mereka apabila kedengaran sorakan boo sebaik wisel tamat babak pertama ditiup.

Chelsea meningkatkan intensiti serangan pada separuh masa kedua, namun kebanyakan peluang mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan Newcastle yang tampil lebih tersusun.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-93 apabila sepakan percuma kapten, Reece James sekadar menggegar tiang gol.

Kekalahan itu menyaksikan Chelsea kekal di tangga kelima liga, dengan pencabar utama bagi tempat ke Liga Juara-Juara musim depan iaitu Manchester United, Aston Villa dan Liverpool dijadual beraksi malam ini.

Newcastle yang kali terakhir menang di Stamford Bridge pada 2012 melonjak tiga anak tangga ke kedudukan kesembilan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN