PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengeluarkan garis panduan penggunaan kenderaan D-Kontrol dan Pikap bagi membawa barangan agar dapat memberikan penjelasan mengenai penggunaan kenderaan tersebut secara sah dan selamat berkuat kuasa 1 April ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, garis panduan itu bertujuan mengelakkan kekeliruan pengguna jalan raya ketika menggunakan kenderaan itu untuk membawa barangan.
Menurutnya, kenderaan barangan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kilogram dikategorikan sebagai kenderaan D-Kontrol dan boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat bagi membawa barangan milik sendiri berkaitan aktiviti perniagaan tanpa memerlukan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bagaimanapun, sekiranya kenderaan digunakan untuk membawa barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewa atau upah, aktiviti tersebut dianggap sebagai perkhidmatan pengangkutan barangan komersial dan pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa A daripada APAD selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715],” katanya di sidang media di sini, hari ini.
Katanya, bagi kenderaan pikap persendirian, pemilik dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi barangan diangkut dengan selamat, tidak melebihi had muatan kenderaan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, antara contoh barangan yang dibenarkan termasuk peralatan kerja, tangga, mesin rumput, bahan binaan kecil, peralatan pertanian, perabot dan barangan pindah rumah.
“Selagi muatan tidak menjulur keluar, disusun dan diikat dengan selamat, serta tiada ubah suai struktur kenderaan, tiada tindakan penguatkuasaan yang akan dikenakan,” katanya.
Sementara itu, JPJ juga akan memberi penjelasan kepada pihak polis bagi mengelakkan kekeliruan dalam penguatkuasaan memandangkan terdapat aduan pemilik pikap yang dikenakan saman walaupun hanya membawa barangan sendiri. – UTUSAN










