Temui ajal dihempap pokok seminit sebelum jemput isteri

Temui ajal dihempap pokok seminit sebelum jemput isteri

RUZAINI Ramli menunjukkan gambar kenangan arwah suami, Ahmad Farazi Kasim yang meninggal dunia akibat dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Tun Razak, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keterujaan untuk menemani suami membeli songkok sempena Aidilfitri antara momen terakhir buat seorang wanita sebelum menerima berita pemergian suaminya yang maut dihempap pokok di Jalan Tun Razak, semalam.

Lebih tragis, jarak lokasi kejadian menimpa Ahmad Farazi Kasim, 51, dengan tempat kerja isterinya, Ruzaina Ramli, 51, hanya kira-kira satu kilometer (KM) atau kurang seminit dengan menaiki motosikal.

Ruzaina berkata, ketika itu waktu rehat dia dan arwah suami yang bekerja sebagai pemandu di Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mahu membeli songok dan kelengkapan raya di pekan Alor Setar.

“Saya tunggu suami tak sampai-sampai sebab dia ada WhatsApp pada pukul 12.40 tengah hari kata dalam perjalanan nak ambil saya untuk ke Pekan Alor Setar kerana nak tengok songkok dan baju raya lain sebab baju Melayu dia saya jahit sendiri,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, Ahmad Farazi yang menunggang motosikal untuk menjemput isterinya di pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah setelah dihempap pokok.

Ujar Ruzaina, arwah suaminya baru selesai sesi merakam gambar raya di pejabat JPS dan mengambil peluang waktu rehat tengah hari untuk meninjau kelengkapan perayaan.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian menimpa Ahmad Farazi setelah dihubungi anak sulung mereka yang menyatakan arwah dihempap pokok.

“Setelah hampir 30 minit suami tak sampai tiba-tiba saya dapat panggilan anak lelaki yang sambil menangis beritahu arwah dihempap pokok selepas dia melihat MyKad ayahnya dalam kumpulan WhatsApp.

“Saya minta kawan hantar ke tempat kejadian dan nampak pasukan penyelamat sedang memotong dahan pokok sebelum mengalihkan arwah suami. Rakan yang ada di situ kemudian beritahu arwah dah tak ada,” katanya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan sikap tetapi naluri seorang isteri memberi petanda yang dia akan kehilangan orang tersayang bila-bila masa.

“Saya terima takdir Allah kehilangan suami walaupun Aidilfitri sudah hampir tidak lama lagi. Arwah juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mergong selepas solat tarawih malam tadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN