KAHERAH: Mesir mengarahkan kedai, restoran dan pusat membeli-belah ditutup mulai pukul 9 malam bermula Sabtu, dalam usaha membendung peningkatan bil lebih dua kali ganda susulan perang Iran.
Perdana Menteri, Mostafa Madbouly, mengumumkan perintah berkurung dan berkata ia akan berkuat kuasa selama sebulan sebagai permulaan.
“Kedai, pusat beli-belah, restoran dan kafe akan ditutup pada pukul 9 malam pada hari bekerja,” katanya sambil menambah pada Khamis dan Jumaat, premis dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam.
Beliau berkata, sebelum perang, bil tenaga bulanan Mesir adalah sekitar AS$560 juta (RM2.2 bilion), namun kini meningkat kepada AS$1.65 bilion (RM6.6 bilion) bagi jumlah penggunaan yang sama.
Madbouly menegaskan, Kaherah perlu bersedia menghadapi ‘senario terburuk’ berikutan perang yang hasilnya tidak dapat diramalkan.
Menteri Pelancongan, Sherif Fathy berkata, sekatan baharu itu tidak akan menjejaskan pelancong dan destinasi utama negara, menurut kenyataan pejabatnya.
Pada awal Mac, Kaherah terpaksa menaikkan harga bahan api lebih 30 peratus, susulan serangan ke atas infrastruktur minyak serantau serta ancaman terhadap Selat Hormuz, laluan perkapalan penting yang hampir lumpuh akibat perang.
Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak mentah dan gas asli cecair global melalui laluan itu ketika waktu aman.
Pengubahsuaian laluan perkapalan dari Terusan Suez juga menghalang Mesir daripada sumber mata wang asing yang penting.- AFP











