MILAN: Juara dunia MotoGP sembilan kali, Marc Marquez menangguhkan rundingan kontrak baharu bersama Ducati susulan kebimbangan terhadap kecederaan bahu yang dialaminya sebelum ini.
Pelumba Sepanyol itu sebelum ini terpaksa berehat panjang daripada menunggang jentera MotoGP dari Oktober hingga Februari selepas menjalani proses pemulihan kecederaan bahu.
Menurut Marquez, walaupun kebanyakan perkara dalam kontrak baharu itu telah dipersetujui, dia meminta Ducati memberi sedikit masa sebelum sebarang perjanjian dimeterai.
“Berkenaan kontrak itu, Ducati dan saya bersetuju dengan kebanyakan perkara tetapi seperti yang saya katakan dalam sidang media (di Thailand), saya meminta Ducati untuk menunggu sedikit supaya ada masa itu.
“Ini kerana saya sedang cedera ketika kami mula berbincang tentang masa depan dan pertama sekali, saya mahu memastikan saya benar-benar selesa di atas motosikal dan kemudian barulah menandatangani kontrak,” kata Marquez kepada MotoGP.com.
Dalam perlumbaan di Thailand pada 1 Mac lalu, Marquez gagal mengulangi dominasi seperti musim lalu namun masih muncul sebagai pelumba terbaik Ducati.
“Saya menantikan perlumbaan seterusnya kerana di Thailand kami agak bergelut sedikit tetapi kami masih berada di sana, bersaing untuk podium. Itu berita baik.
“Kini saya mempunyai dua minggu di hadapan untuk cuba meningkatkan lagi keadaan fizikal saya (dengan bahu itu), kita lihat jika saya boleh. Tetapi ya, saya sudah mula berasa dalam keadaan yang baik untuk bertarung dalam perlumbaan,” katanya. – AGENSI










