PETALING JAYA: Malaysia menyatakan hasrat agar satu gencatan senjata yang menyeluruh dan berkekalan dapat dilaksanakan segera bagi meredakan ketegangan di rantau Asia Barat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan perkara itu dalam perbualan telefon bersama Menteri Luar Iran, Dr Seyed Abbas Araghchi semalam.
Mohamad berkata, perbincangan turut menyentuh perkembangan semasa di rantau berkenaan termasuk kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz bagi menjamin kestabilan ekonomi dan keselamatan tenaga global.
“Malaysia menyatakan hasrat agar gencatan senjata yang menyeluruh dan kekal dilaksanakan segera. Kepentingan dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan serta menghentikan peperangan amat diperlukan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha diplomasi bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau secara berterusan. – UTUSAN











