KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad hoki negara menempah tiket ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 tidak seharusnya dipandang sepi, sebaliknya wajar diraikan sebagai satu pencapaian besar buat sukan hoki tanah air.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM),Datuk Seri Subahan Kamal berkata, hanya 16 pasukan terbaik dunia diberi tempat ke pentas berprestij itu, sekali gus membuktikan Malaysia masih berada dalam kelompok elit hoki antarabangsa.
Menurutnya, tanggapan segelintir pihak yang mempersoalkan prestasi pasukan negara jelas tidak mengambil kira realiti sebenar persaingan di peringkat global yang semakin sengit.
“Layak ke Piala Dunia bukan perkara kecil. Ramai tidak sedar terdapat ratusan pasukan yang bersaing di seluruh dunia, tetapi hanya 16 terbaik berjaya berada di pentas itu,” katanya.
Beliau menambah, kegagalan beberapa kuasa besar hoki dunia untuk melayakkan diri ke kejohanan tersebut turut membuktikan betapa sukar untuk menembusi kelompok terbaik dunia.
Malah, Subahan menegaskan pencapaian Malaysia layak ke Piala Dunia sebanyak empat edisi berturut-turut menjadi bukti konsistensi skuad negara walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Kita masih mampu mengekalkan tempat di Piala Dunia empat kali berturut-turut walaupun berdepan kekangan seperti isu kewangan dan kekurangan penajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dalam skuad negara, khususnya di bahagian pertahanan dan posisi penjaga gol.
Sehubungan itu, tumpuan pasukan kini terarah kepada persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 yang disifatkan sebagai sasaran utama selepas kempen Piala Dunia nanti.
Menurut Subahan, cabaran itu dijangka lebih mencabar memandangkan temasya berkenaan dijadual berlangsung kira-kira tiga minggu sahaja selepas Piala Dunia, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi daripada pemain negara.-UTUSAN










