Kos import bahan makanan berisiko naik

Kos import bahan makanan berisiko naik

MOHAMAD Sabu (dua kanan) menyampaikan STTP kepada wakil Wilayah 2, MADA Jitra pada Majlis Penyampaian Sumbangan STTP dan Perjumpaan bersama Pemimpin Peladang di Kawasan Muda di Kubang Pasu. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kos import bahan makanan dijangka meningkat sekali gus menjejaskan harga barangan di pasaran sekiranya ketegangan di Asia Barat berlarutan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dibimbangi berlaku akibat peningkatan kos pengangkutan bagi pengimportan susulan kenaikan harga minyak dunia.

“Secara umumnya bekalan makanan kita tidak berapa terjejas, cuma kita bimbang kalau berlarutan kenaikan harga minyak, ia boleh mengakibatkan (kos) pengimportan dan pengangkutan barangan makanan kita juga meningkat tetapi banyak mana kita tak boleh jawab secara semberono.

“Pegawai kita dari dua jabatan (Bahagian Antarabangsa dan Sekuriti Makanan) sedang membuat persiapan untuk memberi jawapan balas dalam tempoh seminggu akan datang,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan Perjumpaan bersama Pemimpin Peladang di Kawasan Muda di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, kata Mohamad, bekalan makanan seperti ayam, daging dan kelapa masih mencukupi ketika ini termasuk menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, Malaysia tidak terlalu bergantung kepada negara di Asia Barat bagi pengimportan makanan, sebaliknya kebanyakannya diperoleh daripada negara ASEAN seperti Vietnam dan Thailand, selain turut diperolehi daripada China, Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, India dan Pakistan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, paras air empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilaporkan menyusut akibat kemarau dan situasi itu dijangka memberi kesan kepada hasil pengeluaran padi di negeri ini.

“Salah satu empangan iaitu Empangan Pedu kini mencatatkan paras kira-kira 40 peratus. Namun, ada beberapa kawasan sudah mula hujan tetapi jika tidak hujan di kawasan tadahan, ia tidak akan memberi kesan besar kepada paras empangan,” katanya.

Berdasarkan kedudukan air di tiga empangan MADA yang direkodkan hari ini, Empangan Pedu berada pada paras 42.23 peratus, Empangan Muda (11.12 peratus) dan Empangan Ahning (55.9 peratus) dengan jumlah keseluruhan takungan 41.54 peratus.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, MADA terus mempamerkan prestasi yang membanggakan apabila mencatat purata hasil sebanyak 5.09 tan sehektar pada tahun lalu dalam aspek pengeluaran padi.

“MADA pada tahun ini menyasarkan purata hasil padi sebanyak 6.1 tan sehektar. Namun ia tetap bergantung kepada keadaan cuaca yang mana berkemungkinan akan dibuat kaedah penanaman tabur jika keadaan masih tiada hujan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×