PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi bayangan hukuman bakal dikenakan berbeza dengan apa yang dijatuhkan kepada Timor Leste.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul menjelaskan bahawa kes penggunaan pemain tidak sah membabitkan Timor-Leste dan Malaysia mempunyai perbezaan ketara daripada segi masa kesalahan itu dikesan.
Menurut beliau, dalam kes Timor Leste, penggunaan pemain yang tidak layak hanya diketahui selepas keseluruhan kejohanan telah berakhir, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa bola sepak untuk mengenakan hukuman secara retroaktif terhadap keputusan perlawanan yang sudah selesai.
“Dalam kes Timor Leste, kesalahan itu ditemui selepas pertandingan sudah tamat. Apabila pertandingan sudah berakhir dan barulah kesalahan ditemui, hukuman tidak boleh dikenakan secara retroaktif. Hukuman perlu dilaksanakan untuk masa hadapan. Itu logiknya.
“Pertandingan sudah selesai sebelum didapati dokumen-dokumen yang digunakan adalah palsu.
“Jadi apabila Jawatankuasa Disiplin membuat keputusan, mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman ke belakang, sebaliknya hukuman perlu dikenakan ke hadapan. Sebab itulah Timor Leste dilarang beraksi dalam edisi pertandingan yang seterusnya,” kata Windsor pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
Sebaliknya, beliau menjelaskan situasi membabitkan skuad Harimau Malaya berbeza kerana isu berkenaan dikesan ketika kempen kelayakan Piala Asia 2027 masih berlangsung.
“Situasi Harimau Malaya pula berbeza kerana perkara ini ditemui ketika pertandingan masih sedang berlangsung. Keadaannya tidak sama. Oleh itu, hukuman boleh dilaksanakan pada masa ini.
“Itulah perbezaan antara kes Timor Leste dengan Malaysia atau mana-mana pasukan lain. Kita perlu melihat konteks bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat,” jelasnya.
Tambah Windsor, kes berkenaan kini sedang diteliti oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC yang sedang menilai semua fakta serta penjelasan dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.
“Jawatankuasa Disiplin sedang meneliti fakta dan jawapan daripada FAM. Kita kena tunggu proses perundangan ini selesai. Ia tidak boleh dibuat terburu-buru kerana keputusan ini boleh dicabar di peringkat rayuan atau ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan),” ujarnya.










