Kerajaan AS ada 'banyak wang' biaya perang Iran - Bessent

Kerajaan AS ada ‘banyak wang’ biaya perang Iran – Bessent

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mempunyai ‘banyak wang’ untuk membiayai perang menentang Iran, namun sedang memohon peruntukan tambahan daripada Kongres bagi memastikan keperluan ketenteraan terus terjamin.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, permohonan itu bertujuan memastikan bekalan dan kesiapsiagaan tentera kekal kukuh.

Dalam temu bual bersama program Meet the Press di NBC News semalam, beliau turut menolak sebarang cadangan untuk menaikkan cukai bagi membiayai konflik berkenaan.

Bessent mempertahankan permohonan dana tambahan itu, namun tidak mengesahkan jumlah sebenar yang diperlukan.

Presiden Donald Trump setakat ini belum mengemukakan permohonan rasmi kepada Senat dan Dewan Perwakilan untuk meluluskan peruntukan tersebut, dan pentadbirannya memberi bayangan angka itu masih boleh berubah.

“Kami mempunyai dana mencukupi untuk membiayai perang ini. Ini adalah tambahan,” kata Bessent.

Beliau menambah, Trump memperkukuh kekuatan ketenteraan AS seperti yang dilakukan pada penggal pertamanya, dan kini berusaha memastikan bekalan serta kesiapsiagaan tentera terus terjamin pada masa hadapan.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata minggu lalu, dana tambahan diperlukan ‘untuk memastikan negara mempunyai pembiayaan yang mencukupi untuk apa yang dilakukan, dan apa yang mungkin perlu dilakukan pada masa hadapan’.

Beliau menolak sebarang cadangan kenaikan cukai dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan menegaskan perkara itu tidak dipertimbangkan.

Petunjuk awal menunjukkan perang Iran bakal menjadi yang paling mahal bagi AS sejak konflik panjang di Iraq dan Afghanistan.

Pegawai pentadbiran memaklumkan kepada ahli Kongres enam hari pertama perang dengan Iran telah menelan belanja melebihi AS$11 bilion (RM43 bilion).

Kongres yang diketuai Republikan telah pun meluluskan pembiayaan tertinggi untuk tentera sejak Trump memulakan penggal keduanya pada Januari 2025.

Pada Februari, beliau menandatangani Akta Peruntukan Pertahanan Fiskal 2026 dengan pembiayaan kira-kira AS$840 bilion (RM3.3 trilion).- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN