Kerah anggota marin ke Teluk, Trump berniat rampas Pulau Kharg

Kerah anggota marin ke Teluk, Trump berniat rampas Pulau Kharg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Penempatan anggota marin Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat mencetuskan persoalan baharu mengenai langkah seterusnya Washington dalam konflik yang semakin memuncak dengan Iran, termasuk kemungkinan menyasarkan hab eksport minyak utama Teheran di Pulau Kharg.

Unit Ekspedisi Marin (MEU), yang lazimnya terdiri daripada kira-kira 2,500 hingga 3,000 anggota, dikerahkan ke rantau itu susulan peningkatan ketegangan di Teluk.

Langkah itu diambil ketika Presiden AS, Donald Trump, dikatakan sedang mempertimbang kemungkinan merampas Pulau Kharg, kemudahan strategik yang mengendalikan sebahagian besar eksport minyak mentah Iran.

Menurut Axios yang memetik pegawai AS, pilihan berkenaan sedang dipertimbangkan ketika Washington mencari jalan untuk memecahkan sekatan Iran di Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi bekalan minyak global.

Pulau itu, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pantai selatan Iran di Teluk Arab, mengendalikan sekitar 90 peratus eksport minyak mentah negara, menjadikannya antara aset ekonomi paling penting dalam konflik berkenaan.

Pegawai AS yang dipetik oleh Axios berkata, penawanan pulau itu boleh memberikan ‘tamparan ekonomi’ besar kepada Teheran dengan menutup satu daripada sumber pendapatan utama kerajaan Iran.

Bagaimanapun, pegawai menegaskan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan risiko langkah sedemikian kekal tinggi.

Ketibaan MEU memberikan Washington pilihan ketenteraan yang fleksibel di Teluk.

MEU diwujudkan untuk misi tindak balas pantas dan merangkumi unit infantri, helikopter, pesawat pejuang serta kapal serang amfibia yang mampu melancarkan operasi dari laut.

Pasukan itu biasanya dikerahkan apabila AS mahu memiliki keupayaan melaksanakan pelbagai misi, termasuk mengamankan infrastruktur penting, memindahkan orang awam atau menjalankan serangan amfibia berskala terhad.

Penganalisis tentera berkata, kehadiran anggota Marin akan menjadi elemen penting sekiranya AS cuba menguasai infrastruktur luar pesisir seperti Pulau Kharg.

Berbeza dengan sasaran di darat, Pulau Kharg terletak di Teluk Arab dan kebanyakannya hanya boleh diakses melalui laut. Keadaan ini menjadikannya senario di mana pasukan amfibia, seperti anggota Marin, berkemungkinan memainkan peranan utama.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN