PETALING JAYA: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akhirnya menjatuhkan hukuman terhadap skuad Harimau Malaya dengan permotongan enam mata dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didenda, seminggu selepas keputusan dibuat oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Hukuman dijatuhkan berdasarkan kesalahan skuad Harimau Malaya menurunkan pemain tidak layak dalam dua aksi kelayakan sebelum ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang, hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, Jahangir Baglari itu mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak ketika menentang Nepal dan Vietnam.
Berdasarkan keputusan asal perlawanan terbabit, Malaysia menang 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac 2025 dan menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun 2025.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan itu berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
“Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119).
“FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini,” menurut kenyataan FAM.
Berdasarkan keputusan itu, peluang untuk Malaysia layak ke Piala Asia 2027 telah tertutup rapat.
Malaysia yang sebelum ini mendahului Kumpulan F dengan 15 mata kini hanya berbaki sembilan mata, sekali gus terlepas slot ke Piala Asia 2027.
Vietnam kini mendahului kumpulan dengan 15 mata dan mengesahkan tempat sebagai juara kumpulan serta layak ke kejohanan di Arab Saudi itu.
Sebelum ini, AFC mengumumkan kes pemalsuan dokumen membabitjan tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika.
Keputusan yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika itu bagaimanapun menyaksikan Malaysia tidak dikenakan penggantungan daripada badan induk bola sepak Asia itu.-UTUSAN










