WASHINGTON: Harga barangan runcit dijangka melonjak susulan ancaman serangan Iran terhadap kapal-kapal di Selat Hormuz yang kini mengganggu bekalan tenaga global.
Lonjakan itu dijangka berlaku seiring dengan harga bahan api di stesen minyak yang boleh mencapai paras rekod tertinggi dalam masa terdekat.
Laluan kapal tangki minyak dan kapal kargo di laluan perairan yang sangat strategik itu kini hampir terhenti sepenuhnya.
Menurut bekas penasihat tenaga Rumah Putih, Bob McNally, harga barangan makanan yang bergantung kepada pengangkutan minyak dan diesel juga dijangka meningkat jika penutupan berlarutan.
Beliau memberi amaran masalah itu akan berterusan walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan penamatan perang dalam masa terdekat.
“Ia bukan seperti sebuah pintu besar di hadapan Hormuz yang boleh dikunci oleh Iran. Apa yang perlu Iran lakukan hanyalah membuktikan setiap hari atau selang sehari mereka mempunyai cara dan keupayaan untuk menyerang kapal di selat tersebut, dan itu sudah mencukupi (untuk menghentikan trafik),” kata McNally, yang juga pengasas serta Presiden Rapidan Energy Group.
Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz, sebuah laluan perairan sempit di muara Teluk Parsi yang hanya selebar 21 batu. Lazimnya, sekitar 130 kapal melalui perairan itu setiap hari mengikut data Pusat Maklumat Maritim Bersama.
Namun, jumlah itu berubah pada 28 Februari lalu apabila AS dan Israel memulakan serangan udara ke atas Iran.
Trafik maritim kini hampir lumpuh sepenuhnya, menyebabkan kira-kira 20,000 anak kapal terkandas di kawasan tersebut. Antaranya termasuklah kapal kargo kendalian gergasi perkapalan Jerman, Hapag-Lloyd.
Kapten Silke Lehmköster memaklumkan enam buah kapal kargonya yang membawa barangan rumah seperti perabot, barangan elektronik, dan pakaian sedang menuju ke selat tersebut apabila perang bermula.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran telah menghantar siaran radio amaran bahawa mereka akan menyerang mana-mana kapal yang cuba melalui Selat Hormuz.
Sejak penutupan selat tersebut, harga petrol di AS telah meningkat lebih daripada AS$0.65 sen (RM2.54) segelen sejak perang bermula, lonjakan mingguan terpantas dalam tempoh 20 tahun.
McNally menyatakan jika Selat Hormuz tidak dibuka segera, harga bahan api dunia berkemungkinan besar akan memecahkan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pada tahun 2022 susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine. -AGENSI










