Kalau betul sayangkan seseorang, saya akan terus kahwin – Que Haidar - Utusan Malaysia

Kalau betul sayangkan seseorang, saya akan terus kahwin – Que Haidar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Que Haidar menegaskan dirinya belum bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan dalam masa terdekat selepas bercerai pada 2024.

Menurut Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, fokusnya ketika ini lebih terarah kepada kerjaya seni dan perniagaan yang sedang diusahakan.

“Sekarang ini saya sibuk dengan perniagaan dan juga kerjaya. Itu menjadi keutamaan saya dan belum terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Bagi saya, percintaan sepatutnya hadir selepas perkahwinan. Kalau ada jodoh, kahwin dahulu dan kemudian bercinta.

“Kalau betul sayangkan seseorang, saya akan terus kahwin,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Malaikat Malam, di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan sedang mengenali hati budi dengan pelakon Nur Fazura, Que menegaskan mereka sekadar sahabat baik.

Jelasnya, kehadiran Fazura ke majlis tayangan malam tadi juga hanyalah sebagai tanda sokongan terhadap kerjayanya dalam industri seni.

“Dia hadir hari ini untuk memberi sokongan. Saya sendiri yang mengajaknya menonton bersama.

“Kami sudah lama saling mengenali sejak awal pembabitan dalam industri. Dahulu kami pernah keluar bersama rakan-rakan lain.

“Apabila kini bekerjasama semula, hubungan kami menjadi lebih rapat dan selesa. Saya anggap dia sebagai sahabat yang saling menyokong kerjaya masing-masing,” katanya. — UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN