ISKANDAR PUTERI: Juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol ketika menjinakkan skuad Sang Saka Biru 7-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Xisco Munoz mengekalkan rentak kemenangan sekali gus berada di landasan terbaik menamatkan saingan Liga Super tanpa kalah.
Pesta gol skuad Harimau Selatan bermula jaringan pembukaan Yago Cesar pada minit ke-15 setelah memanfaatkan umpanan Manuel Hidalgo bagi merobek gawang PDRM FC.
Lima minit berselang, gawang The Cops bolos lagi, kali ini menerusi jaringan Nacho Mendez yang melencongkan bola dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Muhd Asri Muhamad.
Pada minit ke-24, anak buah Eddy Gapil terus tersepit setelah Stuart Wilkin menambah derita buat pasukan pelawat apabila melepaskan rembatan deras menerjah gawang PDRM.
Skuad Harimau Selatan dilihat tidak berhasrat mengendurkan tempo permainan pada babak kedua setelah Wilkin menambah gol kedua peribadinya dengan melepaskan rembatan lerek melepasi Muhd. Asri pada minit ke-50.
Penyerang JDT, Jairo da Silva menambah derita buat PDRM apabila meledak gol kelima perlawanan dengan menyudahkan hantaran Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-80.
Jairo terus buat buas memburu gol apabila menambah jaringan dua minit kemudian apabila mewaskan penjaga gol gantian, Nor Hakeem Hamidun buat kali kedua pada perlawanan itu.
Ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan apabila meledak gol ke-20 dalam saingan liga untuk menang 7-0.-UTUSAN










