Israel terus bedil Gaza, 13 terbunuh termasuk kanak-kanak

Israel terus bedil Gaza, 13 terbunuh termasuk kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, seorang wanita mengandung dan sembilan pegawai polis di wilayah Gaza yang musnah akibat perang.

Serangan pada Ahad menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian bandar Nuseirat, tengah Gaza, mengorbankan empat individu.

Menurut Hospital Al-Aqsa, mangsa termasuk sepasang suami isteri berusia 30-an serta anak lelaki mereka yang berumur 10 tahun.

Pihak hospital mengesahkan wanita tersebut sedang hamil anak kembar. Mangsa keempat, seorang remaja jiran berusia 15 tahun dibawa ke Hospital al-Awda di Nuseirat.

“Kami sedang tidur dan terjaga akibat letupan peluru berpandu. Impaknya sangat kuat. Tiada sebarang amaran awal diberikan,” kata seorang jiran, Mahmoud al-Muhtaseb.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan sebuah kenderaan polis terkena serangan di Koridor Philadelphi di pintu masuk pekan az-Zawayda.

Pengeboman itu mengorbankan sembilan pegawai polis, termasuk Kolonel Iyad Ab Yousef, seorang pegawai kanan polis di tengah Gaza. Hospital Al-Aqsa yang menerima jenazah mangsa mengesahkan jumlah kematian tersebut dan menyatakan 14 individu lain turut tercedera.

Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kejam yang dilakukan oleh pendudukan haram Israel pada petang Ahad apabila mereka mengebom kenderaan polis.

“Pegawai dan kakitangan terbabit sedang menjalankan tugas memantau pasar serta mengekalkan keselamatan dan ketenteraman sempena bulan suci Ramadan,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, pihak tentera regim Zionis itu masih belum mengeluarkan sebarang ulasan rasmi berhubung kedua-dua serangan tersebut.

Kematian pada Ahad itu merupakan siri terbaharu melibatkan warga Palestin di kawasan pesisir pantai tersebut sejak perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas cuba menghentikan perang genosid Israel yang telah berlarutan selama lebih dua tahun di Gaza.

Walaupun pertempuran sengit telah berkurangan, serangan Israel masih berlaku hampir setiap hari. Selain serangan udara, tentera Israel kerap melepaskan tembakan ke arah warga Palestin yang berada berhampiran zon kawalan tentera mereka. Menurut pegawai kesihatan Gaza, lebih 650 warga Palestin telah terkorban sejak 10 Oktober 2025.

Dalam pada itu, Israel mengumumkan akan membuka semula sebahagian lintasan Rafah di sempadan Mesir pada Rabu ini, sekali gus menamatkan penutupan selama dua minggu yang telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia ada di wilayah yang terkepung itu. -AL-JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN