SETIU : “Saya hanya mengetahui suami kemalangan selepas salah seorang pengguna Facebook meninggalkan pesan di peti pesanan media sosial saya.”
Demian kata Nor Fatin Mohd. Azhar, 36, isteri kepada salah seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohamad Shakiran Saidi, 36, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70 Bandar Permaisuri di sini, hari ini.
Nor Fatin berkata, dia tergerak hati membuka peti pesanan Facebooknya kira-kira pukul 2 petang ketika sedang bekerja di sebuah hospital dan ada individu memberitahu suaminya kemalangan.
“Apabila terima pesanan itu, saya terus minta nombor telefon individu berkenaan untuk mendapatkan kepastian dan pada masa sama saya cuba melihat paparan lain sebelum melihat komen ‘Al-Fatihah’.
“Saya hubungi pengurusan kem tentera dan Ibu pejabat Polis Daerah Setiu sebelum disahkan suami terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu di sini, hari ini.
Katanya, selepas khabar tersebut, dia bergegas pulang ke rumah sebelum bergerak bersama keluarga dan anak-anak ke Unit Forensik Hospital Setiu.
Bercerita lanjut tentang arwah suaminya itu, Nor Fatin berkata, Mohamad Shakiran sangat teruja memakai pakaian sedondon berwarna merah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Katanya, baju Melayu itu turut ditemukan di dalam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
“Sebelum ini kami tidak pernah pakai sedondon sekeluarga tetapi kali ini suami meminta supaya kami bersama tiga anak berpakaian merah. Baju Melayunya dibeli sendiri manakala baju anak-anak saya siapkan.
“Sebelum kemalangan, Allahyarham beberapa kali memberitahu ingin pulang berjumpa anak bongsu kami, Muhamad Harasy Mikhail yang kini berusia lapan bulan,” katanya.
Nor Fatin berkata, dia dan Allahyarham Mohamad Shakiran melalui perkahwinan jarak jauh (PJJ) hampir 11 tahun dan tidak menyangka penantiannya untuk tinggal bersama tidak kunjung tiba selepas suaminya maut dalam kemalangan.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 12 tengah hari ini, seorang lagi anggota tentera yang maut adalah Muhammad Aminuddin Amran, 21, selepas kereta jenis Honda Civic dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 70 Jalan Bandar Permaisuri. – UTUSAN











