Gelombang perang Iran makin sengit

Gelombang perang Iran makin sengit

KEPULAN asap hitam kelihatan selepas serangan udara melanda ibu negara Teheran pada 3 Mac lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel mengumumkan gelombang serangan ‘berskala luas’ ke atas Teheran ketika perang yang semakin memuncak di Asia Barat memasuki minggu kedua semalam.

Tentera Israel dalam kenyataan mendakwa, lebih 80 jet pejuang melengkapkan siri serangan ke atas tapak tentera, pelancar peluru berpandu dan sasaran lain di Teheran serta kawasan tengah Iran pada Sabtu.

Kenyataan itu turut mendakwa pesawatnya menyerang sebuah akademi tentera Pengawal Revolusi Iran yang sedang digunakan sebagai aset kecemasan.

Sasaran lain termasuk pusat kawalan bawah tanah, fasiliti penyimpanan peluru berpandu serta tapak pelancaran untuk mengurangkan skop serangan yang ditujukan ke wilayah Israel.

Foto yang dirakam AFP menunjukkan api dan asap tebal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad di Teheran selepas kawasan itu diserang.

Dalam kejadian awal pagi semalam, amaran serangan udara dan letupan dilaporkan kedengaran di Baitulmuqaddis serta beberapa bandar di Teluk seperti Dubai, Manama dan berhampiran Riyadh.

Arab Saudi dilaporkan memintas peluru berpandu balistik dilancarkan ke arah sebuah pangkalan udara yang menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS).

Konflik yang semakin meluas sepanjang minggu ini turut menjejaskan beberapa negara lain termasuk Lubnan, Cyprus, yang merupakan anggota Kesatuan Eropah (EU), Turkiye serta Azerbaijan.

Pertempuran itu dilaporkan merebak hingga ke Sri Lanka, apabila tentera AS melancarkan serangan torpedo yang menenggelamkan sebuah kapal perang Iran.

Menteri-menteri luar Liga Arab dijadual mengadakan mesyuarat tergempar pada Ahad bagi membincangkan isu serangan Iran ke atas beberapa negara anggota gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Hossam Zaki berkata, mesyuarat yang akan diadakan melalui persidangan video itu dibuat atas permintaan Kuwait, Arab Saudi, Qatar, Oman, Jordan dan Mesir.

Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian semalam menegaskan, negaranya tidak akan pernah menyerah kalah kepada Israel-Iran dan memohon maaf kepada negara jiran atas serangan di seluruh rantau itu.

“Saya mesti memohon maaf bagi pihak saya sendiri dan Iran kepada negara jiran yang diserang oleh negara ini.

“Majlis kepimpinan sementara bersetuju bahawa tiada lagi serangan akan dibuat ke atas negara-negara jiran dan tiada peluru berpandu akan dilancarkan melainkan serangan terhadap Iran datang dari negara-negara tersebut,” katanya dalam ucapan disiarkan di televisyen rasmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN