Konflik Asia Barat: Cari mekanisme baharu lindungi rakyat - Ku Li

Konflik Asia Barat: Cari mekanisme baharu lindungi rakyat – Ku Li

TENGKU Razaleigh Hamzah (dua dari kiri) semasa hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati, Gua Musang, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerajaan disaran merangka mekanisme baharu bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi susulan ketidaktentuan pasaran global akibat konflik yang sedang melanda Asia Barat.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, walaupun saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat berjimat-cermat adalah langkah wajar, kerajaan juga perlu memikirkan pendekatan lebih menyeluruh bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Kata beliau, konflik yang melibatkan negara pengeluar minyak utama dunia berpotensi menjejaskan bekalan tenaga global sekali gus menyebabkan harga bahan api meningkat.

“Negara seperti Arab Saudi dan Kuwait antara pengeluar minyak terbesar dunia. Jika berlaku gangguan bekalan akibat konflik, harga minyak pasti melonjak.

“Apabila harga minyak meningkat, kos pengeluaran di negara maju juga naik. Malaysia sebagai negara yang banyak mengimport barangan dari luar sudah tentu terpaksa menanggung harga yang lebih mahal,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini semalam.

Tengku Razaleigh berkata, situasi tersebut boleh memberi tekanan besar kepada rakyat memandangkan Malaysia masih bergantung kepada import bagi sebahagian barangan keperluan.

Katanya, keadaan ekonomi semasa seperti pendapatan yang masih rendah serta nilai ringgit yang belum menunjukkan pengukuhan ketara turut menambah cabaran kepada rakyat.

“Jika keadaan ini berterusan, rakyat semakin tertekan. Kerajaan perlu melakukan satu pemikiran baharu bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kesan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Kata beliau,konflik yang berlaku ketika ini berkemungkinan berlarutan memandangkan pihak yang terlibat dilihat kekal dengan pendirian masing-masing.

Katanya, keadaan itu juga berpotensi menarik campur tangan sekutu masing-masing sekali gus memanjangkan tempoh konflik.

“Walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung, kita tetap merasai kesan daripada peperangan tersebut. Justeru itu, kerajaan perlu memikirkan langkah yang boleh melindungi rakyat daripada tekanan ekonomi akibat konflik di Asia Barat,” katanya.

Semalam, Anwar menasihatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat-cermat dan berhemah dalam berbelanja susulan ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk meningkatkan simpanan serta mengelakkan pembaziran terutama sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×