LONDON: Legenda Manchester United, David Beckham percaya Michael Carrick wajar diberi kepercayaan sebagai pengurus tetap kelab itu susulan impak positif sepanjang menggalas tugas selaku pengendali sementara.
Bercakap kepada talkSPORT, Beckham menggariskan tujuh faktor utama yang menyokong pandangannya bahawa Carrick adalah individu paling tepat untuk mengemudi kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Menurutnya, pengalaman Carrick bersama Middlesbrough selama tiga musim menjadi asas penting dalam membentuk kredibiliti sebagai jurulatih, sebelum kembali ke Old Trafford selepas pemecatan Ruben Amorim.
Tambah Beckham, Carrick bukan asing dengan peranan sementara apabila pernah mengendalikan United pada penghujung 2021 dengan keputusan memberangsangkan termasuk menewaskan Villarreal dan Arsenal serta seri menentang Chelsea.
Beliau turut menegaskan ketenangan yang dibawa Carrick menjadi elemen penting dalam menstabilkan prestasi pasukan, yang kini menghuni kelompok teratas EPL.
Bekas kapten England itu turut, menyifatkan pemahaman mendalam Carrick terhadap DNA kelab sebagai kelebihan besar, selepas menghabiskan 12 musim bersama United dari 2006 hingga 2018.
“Carrick memahami falsafah permainan serta kehendak kelab ini, selain mengenali karakter pemain dengan cukup baik,” katanya.
Sebagai tonggak yang membantu United meraih lima kejuaraan EPL serta menjulang trofi Liga Juara-Juara 2008, Carrick turut memiliki pengalaman luas mengenai standard tinggi yang perlu dikekalkan.
Selain itu, beliau berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada pengurus legenda, Alex Ferguson, sepanjang tujuh musim di bawah kendaliannya.
Beckham juga memuji karakter Carrick yang disifatkannya sebagai elegan dalam mengendalikan situasi, sama ada ketika meraikan kemenangan mahupun berdepan tekanan.
“Cara beliau membawa diri cukup tenang dan profesional, itu ciri penting bagi seorang pengurus.
“Beliau juga berjaya membentuk keserasian dalam kalangan pemain. Sebagai penyokong, itulah yang kita mahu lihat,” ujarnya.
United dibawah kendalian Carrick, telah mencatat tujuh kemenangan daripada 10 perlawanan awal, termasuk menundukkan Manchester City, Arsenal serta Aston Villa. – AGENSI










