PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil langkah pragmatik dalam pengurusan subsidi bahan api bagi menghadapi ketidaktentuan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, subsidi bahan api ketika ini tidak efisien kerana berpotensi memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi selain berisiko berlaku ketirisan melalui aktiviti penyeludupan.
Katanya, walaupun kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter sejak pelaksanaan program subsidi bersasar, harga sebenar tanpa subsidi terus berubah mengikut pasaran global.
“Sebagai contoh, harga runcit RON95 mencecah RM3.27 seliter dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.28 bagi setiap liter.
“Ini bermakna kerajaan membiayai kira-kira RM23.04 setiap kali pengguna mengisi separuh tangki 36 liter, tidak termasuk kenderaan dengan kapasiti tangki lebih besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan tersebut tidak mampan dan sebarang penjimatan boleh disalurkan untuk menangani tekanan inflasi yang dijangka meningkat sekiranya konflik berterusan.
Tambahnya, gangguan terhadap laluan kapal tangki minyak di Selat Hormuz juga berpotensi memberi impak besar kepada ekonomi dunia.
“Sehubungan itu, Malaysia wajar mempertimbangkan untuk menetapkan kadar subsidi tetap bagi RON95 dan diesel berbanding mengekalkan harga runcit pada kadar tetap tanpa mengambil kira perubahan harga pasaran.
“Dilaporkan, subsidi bulanan RON95 dan diesel meningkat daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh seminggu sejak konflik bermula. Subsidi tidak boleh diteruskan dengan cara ini walaupun berniat baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat memainkan peranan dengan melaporkan aktiviti penyeludupan serta mengurangkan perjalanan tidak penting.
“Penggunaan pengangkutan awam amat digalakkan, manakala amalan berkongsi kenderaan serta perancangan perjalanan yang teliti dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api,” katanya. – UTUSAN










