MILAN: Itali kini hanya selangkah lagi untuk kembali ke pentas Piala Dunia namun Bosnia-Herzegovina menjadi halangan terakhir dalam aksi play-off kelayakan yang dijangka sengit di Stadium Bilino Polje, esok.
Skuad Azzurri yang dibimbing Gennaro Gattuso hadir dengan tekanan besar selepas hampir sedekad tersisih daripada kejohanan bola sepak terbesar dunia itu malah kegagalan dalam dua edisi terakhir masih menghantui penyokong mereka.
Kemenangan tipis ke atas Ireland Utara dalam separuh akhir minggu lalu, hasil jaringan Sandro Tonali dan Moise Kean, sedikit sebanyak menyelamatkan maruah Itali namun persembahan hambar pasukan itu terus menimbulkan kebimbangan.
Gattuso menyifatkan perlawanan di Zenica seperti mendaki gunung Everest buat pasukannya, merujuk kepada cabaran besar yang perlu diharungi untuk memastikan tiket ke Piala Dunia menjadi milik mereka.
“Dalam bola sepak, inilah perlawanan yang kita mahukan. Ia bukan tentang corak permainan semata-mata, tetapi keazaman, semangat dan mentaliti untuk menang.
“Sepanjang sejarah kami, kami meraih kemenangan terbesar bukan semestinya dengan bermain bola sepak terbaik tetapi dengan berjuang habis-habisan, menunjukkan kebanggaan dan mentaliti yang sempurna,” katanya.
Sekiranya berjaya, Itali akan melengkapkan slot Kumpulan B bersama Kanada, Switzerland dan Qatar dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada musim panas ini. – AFP










