MONTERREY, Mexico – Bolivia bangkit cemerlang pada separuh masa kedua untuk menewaskan Suriname 2-1 dalam aksi playoff, semalam sekali gus menamatkan impian sensasi pasukan kerdil itu untuk layak ke Piala Dunia.
Penyerang Santos, Miguel Terceros muncul wira Bolivia apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79 beberapa minit selepas gol penyamaan dijaringkan pemain gantian muda, Moises Paniagua.
Kemenangan itu menyaksikan Bolivia melangkah ke perlawanan penentuan menentang Iraq pada Selasa ini dengan pemenang akan mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia.
Suriname cuba menjadi pasukan dengan ranking terendah dalam sejarah untuk layak ke Piala Dunia mendahului permainan pada minit ke-48 apabila Liam van Gelderen menjaringkan gol dari jarak dekat di Stadium BBVA di Monterrey.
Namun Bolivia, yang memburu penampilan pertama di Piala Dunia sejak kejohanan 1994 di Amerika Syarikat, mula menguasai permainan apabila separuh masa kedua berlanjutan, dan mendapat peluang kembali apabila Paniagua yang berusia 18 tahun menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-72.
Enam minit kemudian, larian menyerang di bahagian sayap kanan oleh pertahanan Bolivia, Diego Medina, mencetuskan kekalutan dalam pertahanan Suriname.
Hantaran rendah Medina menemui pemain gantian Juan Sinforiano Godoy yang dijatuhkan oleh pemain pertahanan Suriname, Myenty Abena.
Pengadil dari Australia, Alireza Faghani, menunjuk ke titik penalti dan selepas sedikit kelewatan, Terceros menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Bolivia kini akan berdepan Iraq dengan pemenang akan mara ke Kumpulan I Piala Dunia bersama Perancis, Norway dan Senegal pada kejohanan tahun ini di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.











