BEIJING: Batu hempedu lembu kini menjadi bahan perubatan tradisional Cina yang sangat bernilai, dengan harga mencecah dua kali ganda emas, berikutan permintaan tinggi untuk merawat strok dan penyakit kardiovaskular.
Dengan kadar strok di China lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat (AS), permintaan terhadap batu hempedu, yang dikenali sebagai Niu Huang, semakin meningkat.
Pada 2025, harga batu hempedu lembu meningkat kepada AS$5,800 (RM22,765) setiap auns, menjadikannya lebih mahal berbanding emas, menurut Wall Street Journal.
Batu hempedu lembu digunakan dalam ubat tradisional Angong Niuhuang Wan untuk merawat keadaan neurologi serius, termasuk strok, koma dan gangguan kesedaran.
Namun, pengeluaran batu hempedu menghadapi cabaran besar kerana ia hanya terbentuk pada lembu yang lebih tua. Kebanyakan ladang sembelihan di seluruh dunia lebih gemar menyembelih lembu muda untuk meningkatkan kecekapan pertanian.
Situasi itu mencetuskan permintaan tinggi di kawasan penternakan lembu seperti Brazil, Australia dan Texas. Di Bahetus, insiden rompakan dan penyeludupan batu hempedu meningkat, dengan penjenayah bersenjata menyerang ladang untuk mendapatkannya.
Penyeludupan batu hempedu oleh pekerja rumah sembelihan juga meningkat, sekali gus mewujudkan pasaran gelap yang aktif.
Sama seperti permintaan untuk berlian semula jadi mendorong penciptaan berlian buatan makmal, permintaan tinggi untuk batu hempedu semula jadi di China mendorong penyelidik menghasilkan versi sintetiknya.
Walaupun batu semula jadi masih dianggap sebagai standard emas, alternatif sintetik ini berpotensi mengekang kenaikan harga.- AGENSI










