BAM sedia perkukuh kerjasama dengan Zii Jia hingga Olimpik 2028

BAM sedia perkukuh kerjasama dengan Zii Jia hingga Olimpik 2028

Kenny Goh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia memperkukuh kerjasama dengan pemain profesional termasuk jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia sebagai persiapan menghadapi kejohanan berpasukan utama dan misi layak Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, perbincangan telah diadakan bersama beberapa pemain profesional bagi membuka ruang kerjasama, termasuk kemungkinan menyertai sesi latihan skuad kebangsaan dan menghadiri pemilihan pasukan.

“Kita sudah berbincang dengan Zii Jia dan juga semua pemain profesional, bukan hanya untuk Piala Thomas tetapi sehingga 2028 termasuk Sukan Olimpik,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), hari ini.

Menurut Kenny, pendekatan itu penting bagi memastikan Malaysia dapat menurunkan barisan terkuat dalam kejohanan utama seperti Piala Thomas dan kejohanan-kejohanan besar dalam beberapa tahun akan datang.

“Mereka mungkin akan menyertai latihan dan hadir ke sesi pemilihan. Kita terbuka untuk bekerjasama demi membentuk pasukan paling mantap,” jelasnya.

Zii Jia bersama perseorangan wanita Goh Jin Wei serta beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk menyertai skuad negara ke Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.

Kenny memaklumkan, Zii Jia turut memberi bayangan akan cuba menyertai kem latihan pusat lebih awal menjelang kejohanan itu, namun perkara tersebut masih belum dimuktamadkan.

“Dia ada menyebut akan cuba menyertai latihan lebih awal sebelum Piala Thomas, tetapi setakat ini belum ada pengesahan,” katanya.

Dalam masa sama, BAM turut memulakan perancangan awal menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober, dengan perbincangan bersama MSN menjurus kepada kemungkinan mengadakan kem latihan berpusat seperti sebelum Piala Thomas.

“Kita ada bincang kemungkinan mengadakan kem latihan berpusat seperti sebelum ini, namun lokasi masih belum ditentukan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN