KATHMANDU: Penyanyi rap yang kini menjadi ahli politik, Balendra Shah, mengangkat sumpah hari ini sebagai Perdana Menteri Nepal selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya pertama sejak protes antirasuah yang menggulingkan kerajaan tahun lalu.
Reformis berusia 35 tahun itu dan Parti Rastriya Swatantra (RSP) mendominasi pilihan raya bulan ini atas platform perubahan politik yang didorong oleh golongan muda.
Orang ramai yang hadir pada majlis itu bersorak dan melaungkan namanya sejurus beliau secara rasmi memegang jawatan.
Sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh dalam pemberontak belia antirasuah, yang bermula susulan larangan sementara media sosial, namun mencetuskan kemarahan berlarutan terhadap keadaan ekonomi di negara mempunyai 30 juta penduduk itu.
Shah, atau lebih dikenali sebagai Balen, mengangkat sumpah sehari selepas beliau mengeluarkan kenyataan awam pertamanya sejak pilihan raya 5 Mac menerusi lagu rap yang dimuat naik di media sosial.
“Perpaduan adalah kekuatan negara saya,” nyanyi Shah dalam lagu tersebut, yang meraih hampir tiga juta tontonan sejak dimuat naik di media sosial dan platform penstriman pada Khamis malam.
Shah sebelum ini berdiam diri secara terbuka sejak partinya, RSP, memenangi pilihan raya dengan kemenangan besar, meraih majoriti kukuh 182 daripada 275 kerusi di Dewan Perwakilan.
Beliau berkempen bersama Presiden RSP, Rabi Lamichhane, 51, seorang pengacara televisyen lantang yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri, kini merupakan ahli parlimen yang terus memainkan peranan penting dalam kerajaan.
“Hati saya penuh keberanian, darah merah saya membara; saudara-saudara saya bersama saya, kali ini kita akan bangkit.
“Semoga nafas saya tidak terhenti; saya akan berlari seperti seekor harimau bintang,” tambah Shah dalam lagu itu, yang turut memaparkan rakaman kempen pilihan rayanya.
Tidak lama selepas lagu rap Shah dikeluarkan, perdana menteri sementara yang bakal berundur mengucapkan selamat tinggal kepada negara dalam satu siaran televisyen.
Sushila Karki, 73, bekas ketua hakim yang mengetuai pentadbiran sementara selama enam bulan, berkata masa depan Nepal kini terletak di tangan generasi muda.
“Saya yakin kerajaan baharu yang akan dibentuk di bawah kepimpinan golongan muda akan berusaha menamatkan rasuah, mewujudkan tadbir urus baik, mencipta peluang pekerjaan dalam negara, memacu pembangunan ekonomi serta memastikan keadilan sosial,.
“Saya menantikan masa depan cerah negara ini dengan penuh keyakinan — di mana perpaduan, kejujuran dan kerja keras setiap rakyat akan mencipta sejarah baharu,” katanya.
Karki, yang sebelum ini mengarahkan siasatan terhadap tindakan keras ke atas penunjuk perasaan, turut memaklumkan dalam kenyataan pada Khamis bahawa laporan hasil siasatan itu akan dikeluarkan, namun tidak memberikan butiran lanjut.- AFP











