Kesilapan Izzah tidak boleh dijangka – Harnizam

Kesilapan Izzah tidak boleh dijangka – Harnizam

Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri (kiri) terlepas peluang mempertahankan emas keirin selepas dikenakan relegasi ke tempat kelima walaupun menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua, kelmarin. - FB KONFEDERASI BASIKAL ASIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri menegaskan kesilapan ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam final keirin wanita Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina, kelmarin adalah di luar jangkaan sehingga menjejaskan peluangnya mempertahankan pingat emas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, insiden tersebut berlaku dalam situasi perlumbaan yang sangat pantas dan kompleks sehingga sukar dielakkan walaupun pelumba sudah berada pada posisi terbaik.

“Secara asasnya, dari segi teknikal dia melakukan sedikit kesilapan dalam keadaan yang sukar dielakkan kerana pelumba Korea Selatan telah menolak pelumba Jepun dan situasi itu membawa dia keluar dari posisi asal.

“Dalam keadaan itu dia cuba kembali ke posisi hadapan, tetapi ia menyebabkan kesilapan dan walaupun dia menamatkan perlumbaan di tempat kedua, dia dikenakan relegasi ke tempat kelima,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.

Harnizam menjelaskan lagi, faktor daya G ketika memasuki selekoh turut memainkan peranan besar dalam kesilapan tersebut.

Katanya, tekanan tinggi ketika mengambil selekoh menyebabkan basikal Izzah tertarik ke bawah sekali gus memberi kesan kepada kawalan dan laluan perlumbaannya.

“Perkara itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi dalam kes Izzah ia lebih ketara kerana dia terlalu ‘melayan’ daya G ketika memasuki selekoh tersebut.

“Pelumba lain juga mengalami situasi sama, namun kesannya tidak begitu jelas seperti yang berlaku kepada Izzah,” ujarnya.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Izzah terlepas podium walaupun sebenarnya menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua sebelum dikenakan hukuman.

Pada edisi tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, Izzah menjadi penyumbang terbesar kem negara selepas menyumbang dua emas bagi acara ujian masa satu kilometer (km) dan keirin selain perak bagi pecut berpasukan dan gangsa acara pecut individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN