BARCELONA: Atletico Madrid mengesahkan kemaraan ke final Copa del Rey buat kali pertama sejak 2013 meskipun tewas 0-3 kepada FC Barcelona pada aksi separuh akhir kedua di Camp Nou, semalam.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak mencukupi buat Barcelona apabila Atletico mara dengan agregat 4-3 hasil kelebihan besar yang diraih pada perlawanan pertama, Februari lalu.
Skuad kendalian Diego Simeone terpaksa bertahan habis-habisan pada penghujung permainan selepas diasak tanpa henti oleh tuan rumah yang memburu kebangkitan dramatic.
Gol pertama hadir menerusi Marc Bernal yang menyudahkan hantaran lintang rendah Lamine Yamal pada minit ke-23 untuk menghidupkan peluang Barca.
Tuan rumah terus menekan dan memperoleh sepakan penalti sebelum rehat apabila Pedri dijatuhkan dalam kotak penalti. Raphinha tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Bernal sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol ketiga menerusi voli menarik sekali gus meletakkan Barcelona hanya satu jaringan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Namun, benteng Atletico yang diketuai pemain berpengalaman berjaya menyerap tekanan sehingga tamat perlawanan untuk memastikan tiket ke final menjadi milik mereka.
“Kami sudah beberapa kali hampir ke final (dalam beberapa tahun kebelakangan ini), dan dalam perlawanan dua pusingan ini kami lebih baik daripada Barcelona,” kata Simeone.
Atletico akan menentang Real Sociedad atau Athletic Bilbao yang bertemu pada Rabu dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua. – AFP










