PARIS: Amerika Syarikat (AS) menjangkakan operasi ketenteraan ke atas Iran tidak berlarutan hingga berbulan-bulan, sebaliknya mungkin berakhir dalam beberapa minggu lagi.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, pada Jumaat ketika keganasan di Asia Barat berlarutan hampir sebulan dan Israel mengancam meningkatkan serangan ke atas Iran.
“Apabila kami selesai dengan mereka dalam beberapa minggu ini, Iran akan lebih lemah daripada yang pernah berlaku dalam sejarah baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat menteri luar Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis.
Pegawai AS sebelum ini memberikan isyarat putar belit mengenai tempoh operasi bersama Israel, yang bermula sejak 28 Februari dan mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Sementara itu, Teheran menafikan dakwaan Presiden Donald Trump kononnya rundingan damai ‘berjalan dengan baik’, sambil menegaskan tiada perbincangan sedang berlangsung.
Sementara itu, utusan khas Trump, Steve Witkoff pada Jumaat berkata, pihaknya menjangkakan ada pertemuan dengan Iran minggu ini.
Trump kemudian mendakwa Iran menghantar 10 kapal minyak AS untuk menebus kesalahan pada kenyataan mereka yang menafikan penglibatan dalam rundingan.
Rubio mendakwa, memastikan Selat Hormuz kekal dibuka untuk perkapalan akan menjadi cabaran, walaupun AS berjaya mencapat objektif ketenteraannya di Iran.
Beliau turut mendakwa, Iran mungkin mengenakan tol di selat tersebut, yang berpotensi menjejaskan ekonomi banyak negara.











