KOTA TINGGI: Penugasan Anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan dilaksanakan mengikut mandat ditetapkan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan segala keputusan operasi tidak boleh dibuat secara sepihak oleh Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang tindakan melibatkan operasi, pergerakan serta penugasan anggota tertakluk sepenuhnya kepada struktur pemerintahan di bawah UNIFIL.
“Bagi penugasan MALBATT, kita tertakluk kepada UN kerana apabila kita menyertai misi ini, struktur pemerintahan dan keputusan operasi berada di bawah UNIFIL.
“Jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri termasuk menarik keluar pasukan tanpa melalui proses yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi semasa pasukan MALBATT di Lubnan yang terlibat beberapa insiden tidak diingini bersama pihak lain, termasuk pasukan Israel Defense Forces (IDF).
Tambah Mohamed Khaled, insiden tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan dan keadaan masih terkawal.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan. Jika situasi memerlukan, kita akan ambil langkah mengehadkan pergerakan atau mengarahkan anggota berada di dalam kubu (bunker), namun semuanya perlu selaras dengan garis panduan UNIFIL.
“Ketika ini, seramai lebih 500 anggota MALBATT berada di Lubnan sebagai sebahagian daripada misi pengaman antarabangsa. Kita di sana sebagai pasukan pengaman, tiada bawa senjata untuk perang,” katanya.
Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata tiada anggota MALBATT 850-13 yang cedera dalam beberapa insiden letupan yang dilaporkan berlaku berhampiran kawasan operasi UNIFIL di selatan Lubnan susulan ketegangan antara IDF dan Hezbollah di kawasan terbabit. – UTUSAN










