WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan lebih 850 peluru berpandu jelajah Tomahawk sepanjang empat minggu konflik dengan Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai Pentagon mengenai kadar penggunaan senjata berketepatan tinggi itu.
Menurut laporan Washington Post yang memetik sumber, penggunaan pantas tersebut mendorong perbincangan dalaman mengenai usaha meningkatkan bekalan senjata berkenaan.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.
Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, menegaskan bekalan senjata AS masih mencukupi.
“Tentera AS mempunyai lebih daripada cukup peluru, peluru berpandu dan stok senjata untuk mencapai matlamat Operasi Epic Fury yang digariskan Presiden Trump dan juga seterusnya.
“Bagaimanapun, Presiden Trump sentiasa memberi tumpuan mendalam kepada (pengukuhan) angkatan tentera kita dan beliau akan terus menggesa kontraktor pertahanan untuk mempercepatkan pengeluaran senjata buatan Amerika, yang merupakan terbaik di dunia,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pertahanan AS tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.











