Antonelli cipta kemenangan penuh emosi di China

Antonelli cipta kemenangan penuh emosi di China

PELUMBA Mercedes, Kimi Antonelli (tengah) menjulang trofi kejuaraan selepas memenangi Grand Prix China di Shanghai, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli memenangi grand prix (GP) buat kali pertama dalam kariernya apabila menjuarai GP China menewaskan rakan sepasukan, George Russell di tempat kedua dan Lewis Hamilton yang meraih podium pertamanya bersama Ferrari di tempat ketiga.

Antonelli, 19, turut melakar sejarah Formula Satu (F1) apabila menjadi pelumba termuda meraih petak utama.

Dalam perlumbaan tersebut, pelumba Itali itu kehilangan kedudukan selaku pendahulu pada awal perlumbaan namun berjaya merampas semula tempat teratas sebelum mengawal rentak perlumbaan dengan cemerlang.

Dia akhirnya melintasi garisan penamat dengan kelebihan lebih lima saat di hadapan Russell sekali gus menghadiahkan kemenangan berganda buat Mercedes untuk perlumbaan kedua berturut-turut.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa, sejujurnya saya hampir menangis.

“Terima kasih kepada pasukan kerana membantu saya mencapai impian ini. Saya benar-benar mahu membawa Itali kembali ke puncak dan kami berjaya melakukannya hari ini,” kata Antonelli yang kelihatan sebak.

Russell yang mendahului kejuaraan sebelum perlumbaan turut memuji prestasi rakan sepasukannya itu.

“Tahniah kepada Kimi kerana kemenangan pertama sentiasa sangat istimewa,” katanya.

Dalam pada itu, juara dunia empat kali, Max Verstappen terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas jentera Red Bull miliknya mengalami masalah pada pusingan ke-46.

Perlumbaan turut menyaksikan dua pelumba McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri gagal memulakan perlumbaan akibat masalah teknikal berbeza pada jentera mereka.

Norris mengalami masalah elektrik yang menghalangnya sampai ke grid perlumbaan manakala Piastri sempat tiba di grid sebelum ditolak kembali ke garaj beberapa minit kemudian akibat masalah lain.

“Malangnya kami mengenal pasti masalah berbeza pada kedua-dua jentera yang menghalang mereka daripada memulakan GP China,” kata McLaren. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN