LONDON: Bekas pemain tengah Manchester United, Paul Scholes mengkritik hebat terhadap gaya permainan Arne Slot di Liverpool dan eranya menyebabkan Anfield tidak lagi digeruni.
Musim ini, The Reds sedang berdepan mimpi ngeri dan kini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) serta hampir tersingkir daripada Liga Juara-Juara.
Peluang untuk mempertahankan kejuaraan mereka sudah lama tertutup dan Slot menerima kritikan hebat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Liverpool yang terkenal dengan kekuatan aksi di laman sendiri, sudah tewas tiga kali di Anfield dalam EPL musim ini dan seri empat lagi perlawanan.
Hujung minggu lalu, mereka mensia-siakan kelebihan 1-0 ketika menentang Tottenham, sekali lagi menimbulkan kritikan dan Scholes berpendapat gaya permainan Liverpool serta kehilangan aura Anfield menyumbang kepada kejatuhan mereka.
“Anfield dulu adalah tempat paling sukar untuk dilawati. Jamie Carragher selalu kata, dulu bermain di Anfield memang sukar tekanan datang daripada peminat dan pemain lawan.
“Mereka (Liverpool) sudah hilang semangat untuk menahan lawan. Itu tidak ada lagi. Mereka kini hampir menjadi pasukan yang hanya fokus kepada penguasaan bola. Florian Wirtz memang pemain hebat, tetapi saya rasa dia menjadikan mereka lebih kepada penguasaan bola.
“Di bawah (Jurgen) Klopp dan mungkin pengurus terdahulu di Liverpool, perkara terakhir yang mereka fikirkan di laman sendiri adalah bermain bola. Tetapi perkara pertama mereka hanya fikir mengenai menundukkan lawan, mengekang mereka bermain dan menguasai perlawanan.
“Tetapi setahun setengah terakhir ini, Anfield mungkin sudah menjadi salah satu tempat paling mudah untuk lawan dan ia sesuatu yang anda tidak pernah katakan dulu,” kata Scholes. – AGENSI










