INDIAN WELLS, California: Pemain tenis No. 1 dunia, Carlos Alcaraz meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke suku akhir Indian Wells Masters buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Casper Ruud 6-1, 7-6 (7/2), semalam.
Juara Indian Wells edisi 2023 dan 2024 itu mempamerkan aksi luar biasa pada set pertama apabila mendominasi permainan dengan pukulan pemenang dari pelbagai sudut gelanggang.
Dua pukulan lob yang sukar dijangka pada permainan ketiga mencuri perhatian penonton sebelum Alcaraz menjarakkan kedudukan kepada 4-0 menerusi pukulan voli backhand tinggi yang gagal dicapai Ruud.
“Saya rasa pada set pertama, saya bermain hampir sempurna dan sangat sukar untuk ditewaskan. Saya benar-benar gembira dengan tahap permainan saya,” kata pemain Sepanyol itu.
Ruud bagaimanapun bangkit memberi tentangan dalam set kedua namun Alcaraz kekal tenang untuk menguasai tie-break.
Menurut Alcaraz, keadaan cuaca yang panas menyukarkan kawalan bola sepanjang perlawanan.
“Keadaannya agak sukar kerana cuaca sangat panas. Bola bergerak sangat laju dan melantun tinggi, tetapi saya rasa kami berdua bermain dengan baik,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Alcaraz meneruskan permulaan sempurna musim ini selepas menjuarai Terbuka Australia dan Terbuka Qatar.
Dalam aksi suku akhir nanti, Alcaraz bakal berdepan pemain Britain, Cameron Norrie yang menewaskan pemain kelayakan dari Australia, Rinky Hijikata 6-4, 6-2. – AFP










