Aktiviti luar sekolah ditangguh jika suhu lebih 35°C

Aktiviti luar sekolah ditangguh jika suhu lebih 35°C

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius bagi melindungi kesihatan murid dan warga sekolah.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, langkah itu merupakan antara pendekatan kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan oleh semua institusi pendidikan susulan cuaca panas ketika pembukaan semula sekolah selepas tamat Cuti Penggal 1 minggu depan.

Selain itu, KPM memaklumkan pertimbangan kebenaran khas boleh diberikan kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan ketika cuaca panas.

Katanya, kelonggaran itu tertakluk kepada keperluan serta situasi semasa di institusi masing-masing bagi memastikan keselesaan tanpa mengabaikan aspek disiplin.

Katanya, pentadbiran sekolah juga perlu memantau secara rapi sebarang aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada suhu tinggi bagi mengelakkan risiko kesihatan.

“Institusi pendidikan turut diminta memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di sekolah masing-masing, selain menggalakkan murid membawa air minuman sendiri ke sekolah.

“Murid juga perlu dinasihatkan dan digalakkan mengambil air minuman dalam kuantiti yang mencukupi bagi mengawal suhu badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pelajar di asrama pula, pihak sekolah perlu menyediakan bekalan air minuman mencukupi terutamanya sekiranya keadaan mencapai tahap kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan air.

Dalam masa sama, KPM menegaskan semua institusi pendidikan perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berhampiran sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan akibat cuaca panas.

Menurut kementerian itu, pihak sekolah juga perlu sentiasa peka terhadap perkembangan semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“KPM sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan,” katanya.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga disaran memainkan peranan bersama dalam memastikan murid berada dalam keadaan selamat sepanjang tempoh cuaca panas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN