Aktivis Malaysia dilarang masuk Singapura, didakwa 'ganggu' urusan politik

Aktivis Malaysia dilarang masuk Singapura, didakwa ‘ganggu’ urusan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang aktivis Malaysia dilarang memasuki Singapura kerana terlibat dalam aktivisme politik di negara itu, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura.

Fadiah Nadwa Fikri didakwa menggalakkan beberapa belia di Singapura untuk menerima pakai ‘jenama advokasi radikalnya’, kata MHA sebagai menjawab pertanyaan CNA.

“Dia menggalakkan mereka untuk melangkaui protes, untuk menggerakkan pelajar dan komuniti yang berbeza di Singapura, serta melakukan tindakan yang mengganggu dan ganas untuk menyokong tujuan tertentu.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan warga asing yang terlibat dalam politik domestik kami, mahupun mempromosikan kaedah protes awam yang menyalahi undang-undang, ganas serta mengganggu,” kata kementerian itu.

Dalam hantaran di X pada Ahad, Fadiah, yang dianugerahkan ijazah kedoktoran (PhD) oleh Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada Januari, mendakwa diusir pulang ke Malaysia dan dilarang memasuki negara itu.

Beliau menjelaskan, kerja ilmiahnya menumpukan kepada sejarah intelektual dekolonisasi dan anti-imperialisme.

Fadiah turut mendakwa meminta Lembaga Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) memberikan alasan bagi tindakan pengusiran dan larangan kemasukannya, tetapi diberitahu ia ‘tidak dapat didedahkan’.

Notis penolakan kemasukan yang didakwa dikeluarkan oleh ICA, dan dikongsi oleh Fadiah dalam talian, menyatakan beliau ‘tidak layak untuk dikeluarkan pas di bawah dasar imigresen semasa’.

Dalam hantaran lain di Instagram, Fadiah berkata, beliau tiba di Singapura pada 22 Mac atas jemputan penyelia lamanya untuk menyampaikan kuliah tamu mengenai tesis PhD.

Beliau turut merancang untuk melawat rakan-rakannya, penyelia dan keluarganya, serta untuk mengambil sijil ijazahnya.

Beliau merupakan pelajar di jabatan Pengajian Asia Tenggara, NUS, menurut laman web universiti itu.

Berdasarkan akaun media sosialnya, Fadiah meninggalkan kerjaya dalam bidang undang-undang pada 2020 untuk melanjutkan pengajian kedoktoran. Beliau juga pernah menjadi ahli Lawyers for Liberty, kumpulan advokasi hak undang-undang di Malaysia, dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), sebuah badan bukan keuntungan bebas di Malaysia.

Pada Mac 2020, portal berita Malay Mail melaporkan Fadiah disiasat atas dakwaan hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar berkaitan demonstrasi yang dianjurkan menentang pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, beliau juga sedang disiasat atas kes hasutan lain kerana didakwa menghina institusi diraja tidak lama selepas pilihan raya umum Mei 2018 di Malaysia, menurut laporan media tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN