PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak kagum dengan disiplin tinggi pemainnya selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di laman sendiri, semalam.
Menurut Aidil, anak buahnya berjaya melaksanakan pelan taktikal yang telah disusun dengan baik, termasuk menekan lawan sejak minit-minit awal perlawanan.
“Alhamdulillah, saya rasa kami layak meraih tiga mata malam ini. Pemain bekerja dengan sangat baik dan mengikut perancangan yang telah kita tetapkan,” katanya.
Aidil menambah, kemenangan itu juga mendapat sedikit kelebihan kerana Sabah baru sahaja beraksi di Perak beberapa hari lalu, sekali gus memberi sedikit keletihan kepada mereka.
“Bagaimanapun, masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya dalam menjaringkan gol,” jelasnya.
Jurulatih kelahiran Singapura itu juga turut menyifatkan cabaran untuk pemain beraksi di bulan Ramadan agak mencabar.
“Tidak mudah, terutama ketika bermain di tempat lawan. Pemain perlu mengurus penginapan, tidur, dan tenaga sepanjang hari berpuasa. Saya juga menyesuaikan taktikal supaya pemain Muslim tidak terlalu keletihan,” katanya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido, mengakui pasukannya menghadapi tekanan di peringkat awal perlawanan dan mengambil masa 20 minit untuk menyesuaikan diri.
“Kami ketinggalan dua gol pada awal perlawanan, tetapi pemain memberi segalanya selepas itu. Malangnya, kami gagal mengekalkan prestasi sepanjang 90 minit,” katanya.
Beliau juga menegaskan pasukannya perlu menumpukan perhatian kepada baki perlawanan Liga Super dan Piala Cabaran dengan sasaran memberikan persembahan terbaik kepada penyokong.
“Kami ada satu lagi perlawanan dalam tiga hari, jadi fokus kami sudah tertumpu pada perlawanan seterusnya,” katanya.-UTUSAN










