PETALING JAYA: Pasukan Kuching City FC menunjukkan kualiti permainan yang tinggi apabila berjaya memberikan tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Negeri, Kuching, kelmarin.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, meskipun pertembungan berkesudahan dengan kemenangan 2-1 memihak kepada JDT , namun beliau kagum memperlihatkan kedua-dua pasukan menampilkan aksi terbuka dan seimbang dari segi serangan serta pertahanan.
“Saya nampak perlawanan semalam sangat menarik. Kedua-dua pasukan bermain secara terbuka dan saling berbalas serangan.
“Kalau ada tambahan masa 10 minit, saya rasa Kuching City mampu menyamakan kedudukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Jamak turut memuji disiplin serta keutuhan setiap posisi pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu yang dilihat semakin matang dalam mengatur gerakan dan mengawal tempo permainan.
“Kita boleh lihat Kuching City ada pemimpin di setiap bahagian. Haziq Nadzli di posisi penjaga gol misalnya, dia bukan sekadar bertahan tetapi bijak membaca permainan dan mengawal kawasan dengan baik,” ujarnya.
Tambahnya, benteng pertahanan yang diterajui Yuki Tanigawa, Jimmy Raymond serta kapten pasukan, James Okwuosa memperlihatkan kekuatan tersendiri apabila berjaya menyerap tekanan daripada jentera serangan JDT,
Sementara bahagian tengah yang dikemudi oleh Ramadan Saifullah Usman dan beberapa pemain lain turut memainkan peranan penting dalam mencipta peluang.
“Bahagian tengah mereka sangat berfungsi. Pemain-pemain seperti ‘kereta api’ semalam banyak ganggu rentak JDT. Mereka berani bawa bola dan buat larian-larian berbahaya,” jelasnya.
Wan Jamak menyifatkan persembahan Kuching City itu membuktikan pasukan tersebut kini berada di landasan tepat untuk bersaing dengan gergasi bola sepak tempatan.
“Kuching City semakin menunjukkan identiti sendiri. Kualiti dan semangat juang mereka jelas membuatkan JDT tidak boleh ambil mudah,” katanya. – UTUSAN










