KUALA LUMPUR: Bintang profesional negara, Lee Zii Jia, membuat keputusan besar apabila sanggup mengetepikan soal hak imej demi menyarung lencana Jalur Gemilang untuk memperkuatkan skuad negara pada Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Perkembangan tersebut diumumkan sendiri oleh Team Lee Zii Jia (Team LZJ) menerusi satu kenyataan rasmi di platform X hari ini yang mengesahkan persetujuan telah dicapai bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan turut merakamkan penghargaan kepada Presiden BAM, Tengku Zafrul Abdul Aziz, serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Lee Chong Wei, atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan dalam merealisasikan penyertaan tersebut.
“Dengan penuh rasa sukacita, diumumkan bahawa Lee Zii Jia sudah mencapai kata sepakat bersama Persatuan Badminton Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Piala Thomas 2026.
“Zii Jia juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran hak imej bagi mewakili pasukan negara di Piala Thomas dan ini menunjukkan komitmen serta dedikasinya kepada Malaysia,” menurut kenyataan Team LZJ.
Dalam masa sama, Team LZJ menzahirkan harapan agar penyertaan semula pemain ranking dunia itu mampu membuka lembaran baharu dalam hubungan antara pemain dan badan induk demi kepentingan bersama.
“Kami harap keputusan ini menjadi permulaan baharu buat Zii Jia dan BAM untuk sama-sama bergerak ke hadapan demi kepentingan sukan badminton di Malaysia,” jelasnya.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir menjulang Piala Thomas pada edisi 1992 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2 di pentas final, sekali gus menjadikan kempen 2026 sebagai medan penting untuk mengembalikan kegemilangan tersebut. – UTUSAN










