PETALING JAYA: Salah satu slot suku akhir beregu lelaki menjadi milik wakil negara selepas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bertembung dengan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jerman, esok.
Pasangan No. 33 dunia itu menewaskan wakil Singapura, Donavan Willard Wee-Howin Wong 21-15, 21-14 dalam masa 30 minit pada pusingan awal, hari ini.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan sulung Yew Sin-Ee Yi ke atas beregu ke-74 dunia itu.
Sze Fei-Izzuddin yang merupakan pasangan No. 8 dunia telah mara terlebih dahulu ke peringkat 16 terbaik, selepas menumbangkan wakil Perancis, Mael Cattoen-Lucas Renoir 21-17, 21-19 dalam masa 33 minit, semalam.
Turut mengiringi Yew Sin-Ee Yi, beregu campuran profesional Malaysia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang bergelut sebelum berhasil mengetepikan Kristoffer Kolding-Mette Werge dari Denmark
16-21, 21-17, 21-17 dalam masa 55 minit.
Jimmy-Pei Jing kini mendahului rekod pertemuan 1-0 ke atas Kolding-Werge selepas kemenangan tersebut.
Beregu yang menghuni ranking No. 24 dunia itu akan bertemu gandingan Thailand yang berada di tangga ke-77 Dunia, Supak Jomkoh-Omnicha Jongsathapornparn di pusingan seterusnya.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa dua wakil perseorangan Malaysia selepas Justin Hoh dan K. Letshanaa tumpas kepada lawan masing-masing.
Justin yang menghuni ranking ke-38 dunia terpaksa akur kepada pemain No. 25 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 17-21, 21-12, 8-21 dalam masa 58 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan perseorangan lelaki kedua negara itu menentang Cheuk Yu semakin melebar menjadi 0-2.
Letshanaa yang juga berada di kedudukan ke-38 dunia masih belum mampu menandingi pemain muda Jepun berbakat besar, Tomoka Miyazaki apabila kecundang 9-21, 21-15, 11-21 dalam masa 60 minit.
Anak jati Selangor itu kini ditimpa dua kekalahan di tangan bintang No. 9 dunia tersebut selepas Letshanaa turut tewas pada pertemuan pertama di Kejohanan Asia, tahun lalu. – UTUSAN










