PETALING JAYA: Beregu campuran No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mudah melepasi halangan awal selepas menundukkan Brian Wassink-Debora Jille dari Belanda pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman di Mulheim, Jerman, hari ini.
Pasangan suami isteri itu hanya mengambil masa selama 26 minit untuk membenam Wassink-Jille yang merupakan pasangan ke-83 dunia 21-15, 21-8.
Kedua-dua beregu yang belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini, menyaksikan Soon Huat-Shevon kini mendahului rekod pertemuan 1-0.
Pada peringkat 16 terbaik, hari ini, Soon Huat-Shevon bakal berdepan beregu ke-73 dunia, Filip Karlborg-Tilda Sjoo dari Sweden.
Turut mara ke pusingan kedua, perseorangan wanita, Wong Ling Ching yang mengalahkan Tanvi Sharma dari India 21-19, 17-21, 21-16 dalam masa 56 minit.
Ling Ching yang menghuni ranking ke-41 dunia, belum pernah bertemu Sharma di pentas antarabangsa dan kemenangan, hari ini, menyaksikan anak jati Miri, Sarawak itu kini mendahului 1-0 berbanding pencabarnya yang menghuni ranking ke-40 dunia itu.
Pemain berusia 22 tahun itu akan menghitung pertemuan dengan bintang No. 8 dunia, Pornpawee Chochuwong dari Thailand pada pusingan kedua.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain berpihak kepada Chochuwong 1-0 dan kali terakhir mereka bertemu adalah pada Piala Uber, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa wakil perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao yang tewas kepada pemain No. 20 dunia, Chi Yu Jen dari Taiwan 21-18, 5-21, 20-22 dalam masa 1 jam 9 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pemain kini terikat dengan kedudukan 3-3. – UTUSAN










