PETALING JAYA: Aura juara kembali menyala apabila Selangor FC mempamerkan taring sebenar membenam Negeri Sembilan FC 5-1 dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 6-1.
Kemenangan besar itu bukan sekadar angka, sebaliknya mesej jelas kepada pencabar lain Red Giants sudah bersedia merampas semula trofi berprestij yang kali terakhir mereka julang pada 2015.
Selepas hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 di Paroi minggu lalu, anak buah Kim Pan-gon tampil dengan wajah berbeza di Kelana Jaya.
Seawal minit kedua, Faisal Halim membuka tirai jaringan, memadam terus keyakinan pelawat.
Rentak agresif Selangor tidak terhenti di situ apabilaAlvin Fortes menggandakan kelebihan pada minit ke-24 sebelum Nooa Laine dan Quentin Cheng masing-masing menambah derita Negeri Sembilan pada minit ke-30 dan 45 yang menyaksikan separuh masa pertama jelas milik mutlak tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Chrigor Moraes melengkapkan pesta gol pada minit ke-66, menjadikan kedudukan 5-0 dan stadium bergema dengan sorakan penyokong setia Merah Kuning.
Negeri Sembilan sekadar meraih gol sagu hati menerusi sepakan penalti Jovan Motika, namun ia tidak mengubah hakikat jurang kualiti antara kedua-dua pasukan malam tadi.
Dengan momentum memuncak dan keyakinan di tahap tertinggi, Selangor kini mengintai langkah seterusnya apabila dijadual berdepan Kuching City FC di pentas separuh akhir.-UTUSAN










