Polis siasat kejadian anggota JPJ dibaling mercun

Polis siasat kejadian anggota JPJ dibaling mercun

SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibaling mercun oleh sekumpulan penunggang motosikal semasa sedang melaksanakan operasi di Rawang, baru-baru ini.

Siasatan itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat JPJ berhubung perkara itu di Balai Kundang, Gombak, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, polis sedang mengesan individu terlibat dalam kejadian itu.

“Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan kesalahan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh salurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi media di sini hari ini.

Sabtu lalu, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam, ketika sepasukan anggota penguat kuasa JPJ menjalankan rondaan Op Tahun Baharu Cina di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan kawasan Tasik Puteri sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri, Rawang.

Penahanan itu dibuat selepas mendapati penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar.
Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kesalahan dilakukan termasuk menunggang tanpa lesen memandu yang sah, cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

Notis saman telah dikeluarkan kepada kedua-dua individu berkenaan.

Bagaimanapun, ketika pegawai mengeluarkan notis tersebut, sekumpulan penunggang motosikal yang dianggarkan antara 20 hingga 30 orang dipercayai mula membaling mercun beberapa kali dari sebuah bukit.

Berikutan itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia membahayakan anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.

Azrin berkata, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, khususnya kesalahan melibatkan menunggang tanpa lesen, tiada insurans dan gagal memakai topi keledar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×