Piala Lee Chong Wei bantu cungkil bakat muda

Piala Lee Chong Wei bantu cungkil bakat muda

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua kiri) bersama lagenda badminton negara yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei (tengah) bersama barisan penaja pada pelancaran Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.-UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejohanan badminton Piala Lee Chong Wei yang bakal dianjurkan, tahun ini, diyakini mampu menjadi platform bagi melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat besar dan sekali gus, mewujudkan persaingan lebih kompetitif di peringkat akar umbi.

Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, menjadi impian besarnya untuk membantu Malaysia bagi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf bintang yang satu hari nanti mampu mengharumkan nama negara di pantas antarabangsa.

Menurut beliau, kejohanan peringkat remaja itu bakal membabitkan penyertaan kira-kira 3,200 pemain di bawah tiga kategori usia iaitu Bawah 13 Tahun (B-13), Bawah 15 Tahun (B-15) dan Bawah 17 Tahun (B-17).

“Masa saya budak-budak dulu, kejohanan peringkat remaja memang kurang. Sekarang pun sama, kejohanan remaja masih kurang. Jadi, kita mahu buat lebih banyak kejohanan remaja untuk beri peluang kepada bakat muda buktikan kemampuan diri.

“Daripada mereka duduk di rumah main ‘game’ sahaja. Saya lebih suka generasi muda pergi main sukan. Kedua, saya mahu berbakti semula kepada negara. Saya sudah 19 tahun dalam BAM, selama 25 tahun karier badminton saya.

“Apa yang negara beri kepada saya, daripada bukan sesiapa sehingga menjadi pemain No. 1 dunia, inilah masanya saya membalas jasa kepada negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Piala Lee Chong Wei di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Naib Presiden Cherry Malaysia, Lee Wen Hsiang.

Chong Wei berkata, Piala Lee Chong Wei menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000, selain menyediakan platform untuk menjalani latihan percubaan bersama Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Untuk juara dan naib juara, mereka akan diberi peluang menjalani latihan percubaan di ABM selama tiga bulan dan selepas itu, penilaian akan dibuat sendiri oleh jurulatih bagi menentukan hala tuju mereka,” katanya.

Chong Wei yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM menjelaskan, bagi penganjuran edisi sulung yang akan berlangsung di ibu negara mempertandingkan lima acara iaitu perseorangan lelaki dan perempuan, beregu lelaki dan perempuan serta beregu campuran.

Dengan kerjasama Chery sebagai penaja utama dan BAM, Chong Wei berharap kejohanan itu dapat dijadikan acara tahunan bagi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia dan sekali gus meneruskan legasi kegemilangan badminton Malaysia di persada antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN