Pertukaran jurutera jejas persiapan Hamilton

Pertukaran jurutera jejas persiapan Hamilton

LEWIS HAMILTON-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHRAIN: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengakui pertukaran jurutera perlumbaan buat kali kedua dalam tempoh singkat boleh menjejaskan persiapannya menjelang musim baharu Formula Satu (F1).

Pertukaran itu sekali gus memberi cabaran tambahan dalam tahun keduanya bersama pasukan Ferrari.

Ferrari sebelum ini mengumumkan Riccardo Adami, jurutera perlumbaan kepada juara dunia Hamilton dipindahkan ke peranan lain dalam pasukan. 

Tempatnya diganti sementara oleh Carlo Santi bagi sesi ujian pramusim di Sepanyol dan Bahrain.

Bagaimanapun, Santi bukanlah pilihan jangka panjang dengan Ferrari dijangka melantik pengganti tetap lewat tahun ini, berkemungkinan dari pasukan lain dan tertakluk kepada tempoh ‘cuti berkebun’.

Hamilton mengakui situasi tersebut bukan sesuatu yang ideal, terutama ketika musim baharu semakin hampir membuka tirai.

“Ia bukan penyelesaian jangka panjang. Ia hanya untuk beberapa perlumbaan sahaja. Pada awal musim nanti, ia akan bertukar lagi dan saya perlu belajar bekerjasama dengan seseorang yang baharu. Jadi, ia sedikit sebanyak memudaratkan saya,” katanya.

Menurut pelumba Britain itu, kestabilan pasukan teknikal amat penting dalam menghadapi musim yang dijangka mencabar, lebih-lebih lagi dengan perubahan besar membabitkan peraturan casis serta era enjin baharu.

“Musim seperti ini, anda mahu bermula dengan individu yang sudah melalui pelbagai musim dan cabaran bersama.Namun, inilah situasi yang saya hadapi dan saya akan cuba lakukan yang terbaik.,” katanya.

Ferrari menamatkan saingan keseluruhan di tempat keempat musim lalu, manakala Hamilton melalui tahun paling hambar dalam kariernya apabila gagal menaiki podium buat kali pertama. – AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN