PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing dan lambakan barangan di pasaran tempatan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Kewangan membantu menyelaras dan membentuk pasukan petugas khas itu.
“Ia (pasukan) itu akan disertai beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Pasukan petugas khas ini akan memberi fokus kepada penyelarasan aspek penguatkuasaan dan perundangan berkaitan penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja dalam bidang-bidang tertentu,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Katanya, pasukan ini juga akan meneliti dan mengambil tindakan terhadap isu barangan tertentu yang mula dilambakkan dalam negara dan tindakan sewajarnya akan diambil termasuk terhadap aktiviti perniagaan yang tidak mematuhi peraturan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini turut membentangkan hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan keselamatan jalan raya.
“Antara perkara yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri ialah jumlah kematian di jalan raya pada tahun 2024 yang melibatkan anak muda, iaitu sebanyak 4,000 nyawa.
“Ini merupakan satu angka yang sangat merisaukan, dengan kebanyakannya melibatkan kemalangan motosikal. Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan-tindakan susulan berkaitan perkara ini,” katanya. – UTUSAN










