KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini berada di peringkat akhir memuktamadkan penetapan dasar bagi penggubalan perundangan e-dagang baharu sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerangka perundangan itu disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen pada mesyuarat akan datang.
Katanya, Akta Perdagangan Elektronik 2006 [Akta 658] yang diguna pakai ketika ini menyediakan asas penting kepada pembangunan ekosistem e-dagang melalui pengiktirafan undang-undang terhadap mesej elektronik dalam urus niaga perdagangan.
“Akta itu bertujuan membolehkan serta memudahkan urus niaga perdagangan melalui penggunaan kaedah elektronik.
“Bagaimanapun, selaras dengan perkembangan pesat teknologi digital dan kemunculan pelbagai model perniagaan baharu, reformasi terhadap kerangka perundangan sedia ada perlu dilaksanakan mengikut keperluan semasa,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPDN di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Armizan, kajian rasmi penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada telah dimulakan sejak April 2024.
“Kesan perang perdagangan global turut menyebabkan lambakan barangan asing serta memberi kesan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Kerajaan sentiasa komited terhadap dasar penggalakan pasaran terbuka dan pelaburan asing, namun pada masa sama tidak akan berkompromi dalam mewujudkan ekosistem pasaran yang adil dan mampan serta melindungi PMKS tempatan,” katanya. – UTUSAN










