Palace bangkit reda tekanan

Palace bangkit reda tekanan

Tekanan terhadap Glasner semakin memuncak selepas beliau mengesahkan akan meninggalkan Palace pada penghujung musim ini, dengan sebahagian penyokong melaungkan desakan supaya beliau dipecat lebih awal. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Crystal Palace menepis tekanan hebat apabila melangkah ke pusingan 16 terakhir Liga Konferens  selepas menundukkan Zrinjski Mostar 2-0 di Selhurst Park, sekali gus mencatat kemenangan agregat 3-1, semalam.

Selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama minggu lalu, Palace turun dengan misi wajib menang bagi mengelak episod memalukan tersingkir di laman sendiri. 

Aksi tersebut juga merupakan perlawanan kalah mati Eropah pertama mereka di pentas utama kejohanan.

Pasukan kendalian Oliver Glasner mempamerkan aksi lebih tersusun dan agresif sebelum membuka jaringan pada minit ke-36. 

Sepakan percuma Adam Wharton berjaya disudahkan dengan tandukan jarak dekat oleh Maxence Lacroix untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Gol tersebut menyuntik keyakinan Palace yang sebelum ini dihimpit kritikan susulan prestasi hambar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan penyingkiran mengejut dalam Piala FA kepada kelab divisyen keenam, Macclesfield FC.

Tekanan terhadap Glasner semakin memuncak selepas beliau mengesahkan akan meninggalkan Palace pada penghujung musim ini, dengan sebahagian penyokong melaungkan desakan supaya beliau dipecat lebih awal.

Namun, Palace memastikan kemenangan mutlak menerusi jaringan kedua pada masa kecederaan. Evann Guessand melepaskan rembatan tepat ke penjuru jauh hasil hantaran Brennan Johnson untuk mengesahkan kemaraan.

“Ia sangat bermakna. Kami tidak melalui minggu yang mudah. Sejak hari pertama, saya katakan kami mempunyai hubungan yang baik dengan penyokong.

“Ya, mereka kritikal, tetapi itu hak mereka apabila keputusan dan persembahan tidak cukup baik. Kami perlu membalasnya di atas padang,” kata Glasner.

Palace kini menanti lawan sama ada wakil Jerman atau kelab Cyprus, AEK Larnaca FC dalam pusingan 16 terakhir, manakala Fiorentina turut mara selepas bangkit mencatat kemenangan dramatik agregat 5-4 ke atas Jagiellonia Białystok dalam satu lagi aksi mendebarkan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN