KUALA LUMPUR: Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mengintai jurulatih luar negara bagi memperkasa program pelapis, sebagai persiapan awal menuju Sukan SEA 2027.
Langkah strategik itu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan menembak negara, terutama selepas skuad kebangsaan mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam temasya serantau sebelum ini.
Setiausaha Eksekutif NSAM, Mejar (B) Jasni Shaari berkata, pihaknya sudah mempunyai jurulatih tempatan untuk membimbing barisan pelapis, namun kehadiran pakar asing amat diperlukan bagi memperkukuh kepakaran teknikal dan memperluas dimensi latihan.
“Kita perlukan sentuhan jurulatih profesional dari luar negara untuk membantu jurulatih sedia ada serta memberi pendedahan baharu kepada atlet muda.
“Majlis Sukan Negara juga sependapat bahawa kita perlu menimba ilmu daripada jurulatih asing yang berkualiti,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja 2026 di ibu negara.
Menurutnya, bagi skuad podium, NSAM ketika ini sudah dibantu dua jurulatih dari Korea Selatan, justeru fokus kini terarah kepada pembinaan struktur pembangunan pelapis yang lebih mantap dan sistematik.
Dalam masa sama, perancangan rapi telah digerakkan bagi menghadapi Sukan Komanwel 2026, Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027 merangkumi aspek latihan atlet, kejurulatihan serta pemantapan peralatan pertandingan.
Kejayaan meraih empat emas, satu perak dan lapan gangsa pada Sukan SEA 2025 menjadi bukti skuad negara berada di landasan tepat.
Malah, NSAM kini menyusun strategi lebih tajam dengan memberi tumpuan kepada acara yang berpotensi menghadiahkan emas.
“Kita tidak mahu sekadar menang pingat, tetapi mahu gandakan emas, khususnya apabila menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 nanti,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, NSAM masih menyandarkan harapan kepada penembak berpengalaman negara, Johnathan Wong untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2028, berdasarkan peningkatan prestasi semasanya.
Menyentuh soal kewangan, Jasni memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) memberi lampu hijau terhadap perancangan persatuan setakat ini, biarpun jumlah keseluruhan bajet tahunan masih dalam proses pemuktamadan.-UTUSAN










